Sunday, December 23, 2012

[ edited ] Berkenalan Dengan Husnuzon.

Apa itu "Husnuzon" ??

Husnuzon itu dalam bahasa Arab, maksudnya dalam bahasa Melayu adalah bersangka baik. Tidak dinafikan dalam kehidupan seharian kita, kita sering tidak terlepas dalam berprasangka sama ada baik atau buruk. Kita boleh tanya dengan diri kita sendiri, selama ni kita lebih dalam berprasangka baik atau buruk?

Percaya atau tidak, rata-rata diantara kita lebih ramai yang suka berprasangka buruk. Saya beri satu situasi dimana kita lihat seorang remaja yang bajunya ala-ala rock, seluar jean yang koyak-koyak, rambut perang dan punk. Kita mungkin sangka dia seorang yang dah rosak serta jahat. Tetapi telahan kita mungkin salah apabila kita lihat dia membantu seorang makcik atau pakcik yang dah tua melintas jalan atau memberi makan kepada fakir miskin yang datang meminta sedekah.

Selain itu, saya ingin memberi satu lagi situasi dimana ada seorang GRO. Kita sangkakan memang dia murahan dan sebagainya, tetapi kita tidak tahu yang dia telah dijual oleh bapanya kepada bapa ayam sewaktu kecil.

 Buruk sangka merupakan salah satu pintu syaitan yang harus kita jauhi. Allah SWT berfirman,

“Dan jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana sebagian prasangka itu adalah dosa” [Al-Hujurat : 12].

Haa inilah yang saya ingin kongsikan bahawa kita perlu selalu bersangka baik terhadap orang lain. Kita tidak tahu apa yang ada didalam hati seseorang ataupun kisah hidup seseorang.

Ini merupakan kata-kata daripada Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani untuk kita sentiasa bersangka baik sesama insan.

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
 
Ucapkan dalam hatimu : “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) : “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) : “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk."

Bukan sahaja kita perlu bersangka baik terhadap sesama insan, tetapi kepada pencipta kita, Allah SWT, juga kita perlu sentiasa bersangka baik terhadapNya.

Bila kita ditimpa ujian kesusahan hidup atau musibah, percayalah Allah datangkan sesuatu dalam hidup ini mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi. Ujian juga tanda kasih sayang Allah kepada kita semua. Ringan atau berat ujian itu, bergantung kepada kemampuan seseorang seperti dalam firman Allah SWT ;

  “Allah tidak menguji seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah ayat 286)

Dan hadis Nabi SAW;

 Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebajikan, baginya ditimpakan penderitaan ke atasnya.”

 Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Ternyata di setiap ujian, ada kemanisan yang tersembunyi. Sebab itu kita perlu bersangka baik dengan Allah SWT. Bukan dengan memarahi serta mengeluh bila ujian datang seperti contoh demam, batuk dan selesema. Saya lihat ramai lagi yang marah serta mengeluarkan kata2 kesat bila tidak sihat. Sakit itu juga sebagai kafarah dosa kita. Allah dah ringankan beban kita untuk tanggung dosa2 dengan beri kita sakit, tapi ramai pula tak berterima kasih malah memarahi.

Tidak dinafikan kita perlu juga berwaspada dalam situasi keselamatan diri tetapi dengan cara itu tidak menghalalkan kita untuk sentiasa berprasangka buruk. Waspada berbeza maksudnya dengan berprasangka buruk. Jangan salah faham yer. :)

Mengenai pengalaman saya, saya pernah berprasangka buruk malah agak kerap masa saya jahil dulu. Sewaktu saya ada scoliosis dulu, saya selalu juga berkata "kenapalah saya yang kena sakit macam ni". Bila saya telah baca mengenai husnuzon dan memahaminya, saya istighfar dan menyesali apa yang telah saya katakan dulu. Alhamdulillah, hidup makin tenang dengan sentiasa bersangka baik. Percayalah, apa yang saya kongsikan ni saya tak nak ada orang yang mengulangi kesilapan yang pernah saya lakukan dulu dengan berburuk sangka dengan takdir atau apa2 je.

Bersangka baik itu lebih menenangkan.

0 Your opinion:

Introduction