Thursday, April 21, 2016

Sebab Kenapa Aku Hiking

Assalamualaikum,


 Tanggal 18 April 2016, genap setahun aku menceburi dalam bidang mendaki gunung bermula dari Gunung Irau, Cameron Highland.

Pada permulaannya aku mengikuti trip syarikat tempat aku bekerja dulu dan mereka menganjurkan aktiviti mendaki ke Gunung Ledang, Johor. Masa itu, aku hanyalah sebagai ahli jawatankuasa yang ditugaskan memasak untuk para pendaki yang menyertai aktiviti tersebut. Kami bermalam di tapak perkhemahan di kawasan resort sahaja.

Bila berkumpul ramai-ramai dengan pendaki pada waktu makan malam tu, aku dengarlah mereka menceritakan pengalaman mendaki di gunung tersebut. Jadi, dari situ aku rasa macam berminat nak ikut serta jika ada lagi aktiviti pendakian yang dianjurkan oleh Abg Syam tambahan pula aku memang minat aktiviti lasak dan perkhemahan cumanya mak aku ni jenis yang sangat risau kalau anak dia masuk hutan nak-nak pula aku ni ada besi kat sepanjang tulang belakang bertambahlah kerisauan mak aku tu.


Pertama kali kenal, rasa macam dah kenal lama.


Gunung Ledang kali pertama.

Tanggal 18 April 2015, sekali lagi trip #JomDaki menganjurkan aktiviti pendakian. Kali ini ke Gunung Irau, Cameron Highlands. Masa tu ada keluar iklan dekat dalam sistem tempat aku bekerja, jadi tanpa berlengah lagi aku bagi nama kat Abg Syam dan buat bayaran.

Aku beritahu mak aku yang aku nak join hiking ni, macam biasalah mak akan reject. Tapi aku pujuk dan yakinkan mak aku yang tak akan ada apa-apa yang berlaku. Yelah, mak tu risau dalam hutan tu ada macam-macam, takut pulak kalau aku terjatuh ke. Akhirnya mak beri juga kebenaran walaupun dengan berat hati. Hehe.

Jadi, sebelum pergi tu aku akan buat persiapan seperti baca blog-blog sebab nak tengok tahap kesukaran trail tu macam mana dan susah atau tidak trek tersebut. Masa tu memang nubis kubis dan zero knowledge pasal hiking ni. Persiapan stamina last minit, esoknya nak pergi, hari ni baru pergi joging.

Aku rasa sangat excited sebab trip Irau ni seramai 80 orang yang ikut serta dan konvoi ramai-ramai memang sesuatu yang sangat menyeronokkan. Macam biasalah bila kali pertama mendaki, kaki krem lah, mental lah rasa jauhlahh dan macam-macamlah yang kau akan rasa.

Nasib baik ada Kak Nelly, Kak Im, Kak Ros dan Kak Jazz.. Merekalah yang menemani aku sepanjang perjalanan dari Mini Irau ke puncak dan ke starting point. Aku masih ingat lagi yang aku menangis sebab mental dan rasa perjalanan tu jauh sangat. Haha. Malu weiii..


Ni lah kakak yang baik menemani aku bila aku down


Balik jer Irau, rasa macam first and the last aku pergi mendaki gunung ni. Haha. Seminggu kemudian, alamakkk rasa nak pergi mendaki lagi. Jadi, trip-trip yang aku ikut adalah seperti berikut;

1. Broga - 25 April 2015



2. Bukit Kutu - 24 May 2015



3. Bukit Saga - 7 June 2015



4. Gunung Besar Hantu - 13 Julai 2015



5. Gunung Datuk - 25 Ogos 2015


Gunung Rajah, Pine Tree Hill, Twin Peak, dan ada banyak lagi gunung malas nak ingat pergi gunung mana dah! hahaha.

Sebab kedua, aku rasa takjub dengan keindahan yang dicipta Allah. Subhanallah, sangat cantik lukisan alam ini membuatkan aku lagi rasa bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Mendaki gunung ni bukan sahaja untuk menunjuk siapa hebat, tapi Allah Maha Hebat kerana menciptakan alam yang sangat cantik untuk ditatapi dan menjadikan kita lebih tunduk sebagai hambaNya.

Suatu kerugian bila manusia mula tamak haloba lalu pokok ditebang untuk pembangunan, haiwan liar diburu untuk dijual. Bila berlaku pencemaran, kita manusia juga terkena tempiasnya. Aku berdoa agar hutan-hutan di Malaysia tetap terpelihara keindahannya.

Sebab ketiga, aku mahu ramai kawan dan merapatkan lagi silaturrahim sesama manusia. Aku ni tak ramai adik beradik, hanya dua beradik jer. Di rumah pun, kami bertiga je termasuk emak. Maksud aku, aku ni jenis yang suka bila keadaan meriah dan ramai jadi aku tak terasa kesunyian tu.

Aku seronok sebab kawan-kawan hiking aku ni dah rapat macam adik beradik yang mana kita kongsi semua keseronokan, kesedihan dan banyak lagi.

Sejak adanya group Cantas Adventure ni, perhubungan sesama ahli lagi bertambah kemesraan masing-masing memang macam keluarga sangat. Jadi, sekarang aku dah ada keluarga yang besar dan aku takde lagi rasa sunyi sepi macam dulu. Haha.



Sebab keempat, aku tak mahu memanjakan diri aku sebab lepas pembedahan tulang belakang, mak macam tak bagi aku buat kerja berat-berat. Aku faham sebab biasalah mak mana yang tak risau kan.. Tapi bagi aku yang jiwa abang-abang ni, eh? Aku tak suka duduk diam, memang dari kecik lagi aku ni jenis yang suka aktiviti lasak. Masa kecik mak mana nak bagi aku ikut aktiviti perkhemahan anjuran sekolah, bila dah besar dan kerja ni lah baru boleh join tu pun kena pujuk dan yakinkan betul-betul.


**gambar cilok dari google**
macam ni lah lebih kurang besi dalam badan aku

Sejak aku mendaki gunung ni, Alhamdulillah tak ada apa-apa perkara buruk berlaku pada aku sebab aku kena hati-hati dengan lebih lagi sebab takut apa-apa jadi kat tulang belakang balik kan dan aku terus berdoa jer semoga aku sihat dan selamat. Cumanya lepas ni aku kena pakai helmet naik gunung ni sebab 4 kali 4 gunung kepala aku terhantuk kat kayu. Hurmm.. T___T


Aku suka camping sebab aku belajar berdikari tanpa harapkan bantuan siapa-siapa. Aku suka rasa susah dan aku tak nak ajar diri aku untuk sentiasa berada di dalam zon selesa. Macam gedik je kan tak nak rasa susah. Bila kita dah biasa rasa susah, pergi mana-mana pun tak kisah dan kita boleh survive. InsyaAllah.

Lagi satu, pendakian ni juga mengajar kita menjadi seorang insan yang kuat. Laluan untuk ke puncak tak semudah highway, banyak liku-liku, turun dan naik yang harus ditempuhi. Akhirnya bila sampai ke puncak kita berasa sangat puas dapat menikmati keindahan alam sebagai ganjaran. Begitu juga hidup kita, tiada yang mudah dan kita harus tempuhi pelbagai ujian dan selagi kita taat kepada-Nya, insyaAllah ganjarannya syurga di akhirat.

Akhir sekali, aku yang memang pencinta alam ni suka mengabadikan kecantikan alam dalam bentuk gambar sebagai kenang-kenangan yang aku pernah ke tempat itu. Banyak gambar yang aku simpan dalam external hard disk, jadi tak dapat nak kongsikan dalam blog ini sebab tengah menaip di ofis. Hehe.

Jadi, itu sahaja cerita aku dan sebab-sebab kenapa aku suka hiking. Terima kasih sangat sebab sudi baca blog aku ni. Sayang anda semua..




1 Your opinion:

Unknown said...

Wahh bnyknye dh pergi..sy dh lama tk pg..skrg masih join lagi ke hiking..

Introduction