Tuesday, December 7, 2010

Salahkah?

Adakah salah jika seseorang perempuan menyatakan cinta atau perasaannya terhadap seseorang lelaki?

Mari kita renungkan kembali sejarah hidup Rasulullah SAW.. Siti Khadijah yang jatuh cinta padanya lalu menghantar rombongan meminang kepada Rasulullah, adakah dianggap salah?? Tidak bukan?

Sesungguhnya di dalam Islam disyariatkan kepada seorang wanita untuk menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh dan beragama apabila dirinya mendapati lelaki tersebut benar akhlaknya dan benar peribadinya menurut syariat Islam (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 107 Jilid 3).


Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Kenapa mentaliti masyarakat dalam negara kita ini begitu memandang remeh dalam hal-hal sebegitu? Cinta yang dizahirkan itu adalah ikhlas.. Walaupun cinta itu tidak boleh melebihi cinta kita terhadap Allah dan RasulNya.. Mari kita ubah mentaliti tersebut dengan menganggapnya sebagai niat yang suci..

Renungkan ayat ini,

Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan”(lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).

Sesungguhnya hadith di atas tidaklah hanya mengkhususkan kepada baginda rasul sahaja bahkan ianya menjadi contoh teladan kepada semua wanita muslimah dan dibolehkan mereka menawarkan diri mereka kepada semua lelaki soleh muslim yang mukmin kerana apa yang terjadi kepada rasul selagi tidak dikhususkan maka ianya merupakan perbuatan sunnah yang umum.

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

Adapun menjawab ayat al-Qur’an yang menyebut kekhususan hanya untuk nabi seperti :

“Dan perempuan mukminah yang menghadiahkan dirinya kepada rasul…..hanya khusus untuk kamu dan bukan untuk orang yang beriman yang lain ” (Al-Ahzab : 50).


Dimaksudkan pengkhususan di sini ialah dalam masalah maskahwin iaitu dikhususkan untuk rasulullah bernikah dengan perempuan yang menghadiahkan dirinya kepada baginda nabi tanpa perlu baginda membayar maskahwin sedangkan bagi umat Islam yang lain diwajibkan membayar maskahwin namun untuk nabi diberi pengecualian (lihat Tafsir Al-Qur’anul Azim oleh Ibn Katsir ra m/s 124 Jilid 3).


Sebagai kesimpulan adalah menjadi sunat dan galakkan kepada wanita muslimah bagi menawarkan diri mereka kepada lelaki yang soleh dan beragama jika benar lelaki tersebut dilihat dapat membimbing diri mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar.


Memang perempuan akan berasa malu tatkala meluahkan perasaannya terhadap seseorang lelaki itu.. Dan malu juga merupakan sebahagian daripada iman seperti yang disebut dalam hadith Ibu Umar ra bahawa baginda rasul menyebut : “Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman”(hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36 , Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah).


Begitu juga dalam hadith yang lain baginda mengatakan :“Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).


Sungguhpun wanita Islam yang muslimah dan solehah itu akan mempunyai malu dan sebagai perempuan, sifat malu itu merupakan perhiasan namun tidaklah patut malu itu menahan dari tercapainya kebaikan dan terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.

“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).

Bagi mereka yang merasa malu dan segan menawarkan diri secara berdepan mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .







Kebanyakan daripada tulisan ini adalah sumber dari ustaz.blogspot.com






p/s --> penulis tidak ada apa-apa niat semasa menulis..hanya sebagai perkongsian.. =)

1 Your opinion:

Aisya Humaira said...

betulkan saya jika ada kesalahan..
terima kasih..

Introduction