Sunday, December 26, 2010

Biasa la tu.... ( Muhasabah )

Untuk orang yang beriman, jahiliyyah tidak pernah normal. ~

“Tak pelik ke tengok orang sekarang pakai dedah-dedah macam tak ada masalah?”

“Biasalah tu.”

“Eh, ramai ya orang tak puasa dalam Ramadhan sekarang?”

“Biasalah tu.”

“Ana dengar, ramai pelajar universiti sekarang tak solat. Betul ke?”

“Biasalah tu.”

Mungkin perbualan ini pernah kita lalui dalam kehidupan kita. Ya, biasa. Situasi-situasi yang dinyatakan, termasuklah 1001 lagi situasi yang tidak dinyatakan, boleh dijawab dengan satu jawapan yang sama - biasalah tu.

Saya teringat semasa saya menjawab dengan jawapan yang sama satu ketika dahulu, apabila ditanya oleh seseorang. Dan apa yang orang itu kemudiannya memberitahu saya, adalah perkara yang tidak mampu saya lupakan hingga ke hari ini.

Enta kata biasa?

“Enta kata biasa?”

“Yalah, memang macam itu orang sekarang. Biasalah tu.”

“Hati enta ada masalah ni.”

“Eh, kenapa ana plak yang ada masalah? Orang yang buat dosalah masalah.”

“Enta anggap jahiliyyah itu perkara biasa dalam kehidupan masyarakat.”

Saya terdiam. Secara tidak langsung, saya bersetuju dengan yang berbicara kepada saya itu. Saya sendiri, tanpa sedar telah menganggap bahawa jahiliyyah itu adalah normal, biasa.

Dan daripada perbualan ringkas itu, saya dapat mengekstrak banyak perkara.




Mengiktiraf jahiliyyah

Apabila kita melihat bahawa jahiliyyah adalah biasa, satu norma masyarakat yang pada kita memang telah berakar umbi lantas kita tidak merasakannya ‘luar biasa’, maka hakikatnya hati kita telah mengiktiraf jahiliyyah yang wujud di sekeliling kita.

Biasa. Kita rasa itu biasa. Maka, ada masalahkah? Bukankah benda itu biasa sahaja?

Seperti kita lihat orang berjalan pakai kaki. Adakah kita akan menegurnya: “Eh, kenapa jalan pakai kaki?”

Pastinya tidak bukan? Kita tidak akan menegurnya. Bahkan, kita tidak akan tergerak pun, terlintas pun dalam hati kita untuk menegurnya. Kerana apa? Kerana itu adalah biasa. Lainlah kalau dia berjalan dengan tangan. Barulah kita akan risau dengannya, dan menegur: “Kenapa buat macam ini? Jalan pakai kakilah.”

Begitulah hakikatnya apabila kita melihat jahiliyyah satu perkara yang biasa.

Hati jadi mangli dengan jahiliyyah, lantas lembik terhadapnya, akhirnya membiarkannya sahaja bergerak bebas tanpa menghalangnya.

Jahiliyyah menyelimuti kita.

Tanpa sedar juga, kita secara tidak langsung redha dengan jahiliyyah. Kita mampu menerima jahiliyyah itu hidup beriringan dengan kita. Walaupun kita kelihatan masih berpegang pada jalan yang haq, namun keredhaan pada jahiliyyah telah wujud di dalam jiwa. Dua cinta yang tidak boleh bersatu dalam satu waktu adalah cinta kepada Allah, dan cinta kepada jahiliyyah. Sekiranya kita tidak memerangi jahiliyyah, maka jahiliyyah akan memerangi kita.

Lama kelamaan, jahiliyyah yang kita biarkan tadi, yang kita anggap biasa tadi, meluas dan merebak. Oleh kerana kita nampak jahiliyyah itu biasa, nanti kita akan ambil sedikit jahiliyyah masuk dalam diri kita. Jahiliyyah yang kita rasa ‘biasa’. Dan lama kelamaan, banyak lagi jahiliyyah lain pun kita pandang ‘biasa’. Dan akhir sekali, kita terserap ke dalamnya. Pada ketika itu, jadilah jahiliyyah itu biasa, dan kebaikan itu yang luar biasa.

Dan perkara ini, kita boleh lihat dalam kehidupan kita.

Ya. Siapakah yang dipandang luar biasa sekarang?

Kebaikan, atau Jahiliyyah?

Hinggakan hari ini, sistem Islam tidak tertegak pun tidak dirasakan besar untuk kita bukan? Ketiadaan khilafah Islam dalam menguruskan hal ehwal muslimin pun tidak dirasakan besar untuk kita bukan? Sampaikan, ada kalangan kita yang menganggap mujahidin itu pengganas, dan tentera amerika+israel itulah penyelamat.

Tidakkah kita lihat ini?




Jahiliyyah tidak pernah ‘biasa’

Apakah biasa, normal untuk manusia yang sebenarnya?

Islam. Taat pada Allah. Saya sudah nyatakan dalam beberapa post yang lepas akan hal ini. Fitrah kita adalah Islam. Kita semenjak azali memang telah mengangkat Allah sebagai ILAH dan RABB. Itulah yang biasa. Itulah normal.

Maka apabila ada ism lain selain itu, yakni jahiliyyah, datang, tidakkah sepatutnya kita memandang dengan pandangan:

“Apakah ini?”

Sebab jahiliyyah adalah luar biasa untuk kita. Pelik. Bagaimana benda itu boleh hidup bersama aku? Eh, kenapa aku boleh biarkan benda ini tersebar begini? Apa aku dah buat untuk sekat dan hapuskan benda ini dalam hidup aku dan masyarakat?

Persoalan itu patut keluar pada diri kita. Sekiranya kita adalah yang tidak menganggap jahiliyyah sebagai satu kebiasaan.

Akan tersingkap selimut kekeliruan ini, pada hari itu.

Nanti, ada satu hari yang kita sama-sama akan lihat bahawa kekeliruan yang menyebabkan jahiliyyah nampak normal pada kita hari ini, tersingkap.

Hari akhirat. Hari yang mata-mata manusia lalai tersembul keluar kerana melihat hakikat. Hari yang bicara-bicara pemalas dan yang tidak mahu percaya terkunci kerana kelu dan ketakutan melihat kebenaran. Hari yang kala itu ramai berkata:

” Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.

“Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman.” Surah Asy-Syuara ayat 102.

Hari itu, kita akan lihat apakah yang sepatutnya kita anggap biasa, apakah yang sepatutnya kita anggap luar biasa.
Maka apakah kita hanya akan tersedar daripada hal ini ketika itu?

Kita yang memilih.


0 Your opinion:

Introduction