Wednesday, October 12, 2016

Berilmu vs Bermaklumat







Facebook : Zonkuliah




Wednesday, October 5, 2016

Buku Sampah?


Sambil aku scroll newsfeed di facebook, aku ternampak member aku share post berkenaan sebuah buku oleh seorang youtuber terkenal ni.

Aku pun buka penuh gambar muka surat buku tersebut, isi kandungan buku tersebut adalah screenshot perbualan beliau dan ibu beliau yang mana bagi aku tak ada apa-apa isi penting yang mendatangkan manfaat kepada pembaca yang membeli buku beliau.


Ini amat menyedihkan yang mana sebuah pembaziran pada kertas dan pokok-pokok yang ditebang untuk menghasilkan sebuah buku berisi sampah macam ni. Maaf kalau agak kasar tapi itu realiti.

Kalau kita perhatikan dahulu, jika kita ingin menerbitkan sebuah buku itu amat susah sebab kita perlu menulis panjang lebar yang perlu ada fakta, sesuatu maklumat kepada pembaca serta merangsang minda pembaca. Betul tak?

Bukan saja-saja untuk kita terbitkan sebuah buku, sebab buku itu tujuannya untuk memberi maklumat kepada pembaca.

Seperti sudah menjadi satu trend terbit buku acah-acah hipster dengan screenshot dan puisi yang entah apa-apa. 

Budaya seperti ini perlu di elakkan supaya martabat sebuah buku itu tinggi dan sarat dengan ilmu yang di sampaikan kepada pembaca.

Rasulullah SAW

bersabda "...Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi sesama manusia..." [HR. Thabrani dalam Al-Ausath]

Dari Ibnu Abbas RA ia berkata: Rasulullah SAW ditanya: "Siapakah orang terbaik?" Beliau menjawab :
"Yang paling bermanfaat bagi sesama manusia" [Ittihaaf Al-Khairat Al-Mihrah bi Zawaa'id Al-Masaanid Al-'Usyrah juz 5 hlm.191] 
Bukankah jika kita menulis sesuatu yang bermanfaat bagi orang lain itu lebih baik?

"Jika seseorang meninggal maka terputuslah amalnya kecuali tiga hal; shadaqah jariyah, ilmu
yang manfaat, dan anak shalih yang mendoakan orang tuanya" [HR. Muslim]


Jadi berhentilah menulis atau mengeluarkan sesuatu buku yang tidak mendatangkan manfaat bagi para pembaca dan yang menjadi suatu pembaziran.

Mulalah menulis sesuatu yang bermanfaat bagi orang ramai. :)

Peace no war!

Thursday, September 22, 2016

Gunung Rinjani [Part 2]


Ini adalah sambung dari post Gunung Rinjani [ Part 1 ]

Assalamualaikum,

Maaf sebab lama dah tak update entri Gunung Rinjani walaupun dah 5 bulan berlalu. Kali ni aku nak bercerita pula berkenaan hari pertama di Lombok, Indonesia.

Sesampai je di lapangan terbang, macam biasalah kita kena beratur cop passport scan barang apa semua. Aku agak kekok sikit sebab ini adalah trip luar negara yang pertama untuk aku.

Lepas je scan barang tu, kitorang pun jumpa dengan kengkawan yang sampai awal sehari kat sana. Kesian dorang "pisang" kat sana, nak tidur pun tak boleh.

Aku masa tu nampak ada orang jual simkad untuk internet, dengan pantas aku pergi beli simkad tu dengan Kak Long dan Madir. Boleh tahan mahal jugalah simkad kat airport tu. =.='

Bila dah dapat internet, apa lagi, kita update dulu bagitau dah sampai dengan selamatnya.


Sebelum gerak ke Mataram kita wefie dulu!


Apabila semua orang dah berkumpul, kami dengan group lain pun berkumpul sama untuk meneruskan perjalanan. Masa tu sudah petang, admin group BMM tanya siapa yang nak pergi shopping dan siapa yang nak pergi ke air terjun? Admin tu beritahu yang kalau nak pergi air terjun, risau tak sempat sebab jam 6 petang kat sana dah gelap.

Jadi, kami (Cantas Adventure) buat keputusan yang kami nak pergi shopping barang outdoor di Mataram sebab dengar-dengar barang outdoor kat sana murah-murah. Jadi, kami pun satu group naik 1 bas menghala ke Mataram. Seronok sebenarnya jalan-jalan tengok negara orang ni.


Haa nilah kami dalam bas.

Lebih kurang sejam perjalanan, sampailah kami di Mataram Mall. Kami diberi masa 2 jam untuk membeli belah barang-barang outdoor. Cari kedai kat dalam tu, ada satu kedai outdoor kat tingkat 2. Rambang mata tengok sandal sebab memang aku nak cari sandal bagi menggantikan sandal lama aku dah rosak. Dua tahun jugak aku pakai sandal lama tu.


Ni dia Mataram Mall.


Aku buat kira-kira sandal merah berjenama "Outdoor", bila ditukar ke Ringgit Malaysia harganya dalam rm30 lebih. Tanpa fikir panjang, aku pun terus grab sandal ni. Lepas tu, jumpa pula carry mat yang berharga kurang dari RM20. Aku pun terus ambil sebab memang aku tengah cari carry mat, kat Malaysia mahaiii baq ang.

Kawan-kawan yang lain, ada yang beli sweater, windbreaker, kasut dan sebagainya untuk persiapan naik ke Gunung Rinjani. Usai membeli belah di kedai tersebut, aku, Cino, Izzi dan Lysa pergi ke kedai Eiger pula di tingkat 3. Aku tengok dan belek2 tak ada yang berkenan di hati lagipun Eiger ni mahal juga.

Sementara tunggu kawan-kawan yang lain membeli belah, aku, Izzi, Cino pergi membeli air, plug pin dan coklat di shopping mart kat aras G. Tengah beli tu, nampak la ada Fitri, Liza, Raihan, Nizam dan Nin. Lepas keluar tu, kitorang decide cari makan kat luar mall.


Ni haa kami yang sedang mengisi perut yang lapar.

Selesai makan, kami kembali ke bas tempat berkumpul untuk menunggu kawan-kawan yang lain..


Bila kawan-kawan lain dah naik bas semuanya, perjalanan membeli belah kami bukan sahaja berhenti di sini. Kami bersambung pula ke kedai Consina dan Eiger di sekitar Mataram. Haha. Rambang mata wehhh..beg, kasut, baju, seluar kat kedai Consina tu lawa-lawa. (p/s : Bawak duit lebih, nanti takut tak cukup. :P )

Settle shopping, kami pun mula bergerak ke destinasi kami untuk ke daerah Senaru. Pada awalnya, aku niat nak tengok jalan di sekitar Lombok sepanjang perjalanan. Namun hampa ku hampa, mataku terlebih dahulu terasa berat dan ingin pejam. Aku pun hanyut dalam mimpi bersama kawan-kawan yang lain (dorang pun tidoqq).


Nampak tak mata aku pejam dah tu, dorang sempat lagi posing. Kah!


Tak berapa lama, dalam mamai-mamai aku dengar suara-suara girang nampak laut. Aku sambung tidur balik, sedar-sedar masih dalam bas lagi. Aku pun kata "alaaa, jauh lagi ke ni rasa macam lama sangat dah tak sampai-sampai lagi". Masa tu jalan bengkang bengkok juga. Aku toleh ke belakang, tengok kawan-kawan yang lain tidur bukan main lena kata kauu.. Penat shopping lettewww..

Akhirnya kami sampai juga di daerah Senaru dan berkumpul di satu tempat ni kat kedai makan sementara tunggu homestay. Apa lagi, kami pun order makan buffet (nasi lauk apa entah, tak ingat dah. Haha) untuk mengisi kekosongan di perut ni.

Tak lama lepas makan tu, kami pun di bawa ke homestay masing-masing. Malam tu, aku tidur sebilik dengan Kak Long. Cuaca kat sana dahlah sejuk, heater pun tak ada. Menahan kesejukan la mandi air sejuk kat sana. Menggigil kata kau.

Dah siap semua, kami pun mengemas bag untuk mendaki keesokan harinya dan masuk tidur sebab nak bangun awal. Tidur malam tu memang nyenyak dengan sejuknya lagi cuaca kat sana.

Jadi, inilah kisah hari pertama kami di Lombok. Aku akan update kisah kami mendaki Gunung Rinjani pula dalam entri yang seterusnya. InsyaAllah. Nantikannn...


Bersambung....

(macam sinetron dan drama tv3 jam 7 nak sambung-sambung)

Terima kasih sudi baca! :)


Wednesday, September 21, 2016

Trip ke Gunung Kerinci [Part 1]


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 15 Ogos 2016, kami (Cantas Adventure) memulakan ekspidisi kami untuk mendaki gunung berapi tertinggi di Indonesia yang terkenal dengan namanya Gunung Kerinci yang ketinggiannya mencecah 3805 meter dari paras laut dan hutannya terkenal dengan hutan hujan tropika. Ini adalah event pertama group Cantas Adventure hiking ke luar negara dan trip kedua ke luar negara.


Jalur pendakian Gunung Kerinci (Sumber : Google)


15 Ogos 2016.


Seramai 17 orang peserta, masing-masing berkumpul di KLIA 2 seawal 12 tengah malam. Saya pula bergerak ke KLIA 2 dari rumah pada jam 2 pagi dan sampai dalam jam 3.30 pagi. Sesampai sahaja di KLIA 2, kami hanya berbual sahaja sementara yang lain sedang tidur dan menunggu peserta yang lain sampai.

Tepat jam 5 pagi, kami naik ke atas untuk check in luggage. Setelah urusan selesai, kami sarapan dulu untuk isi perut yang kosong dan kami pun memulakan perjalanan check in ke tempat menunggu. Sementara kapal terbang belum sampai lagi, sempatlah aku dan Cino menunaikan solat subuh di surau yang berhampiran.


Lepak tunggu kapal terbang mai


Pada jam 7.50 pagi, kami pun berlepas daripada KLIA 2 ke Padang. Aku ingatkan perjalanan ke Padang ni mengambil masa dalam 1 jam lebih, tapi tak sempat pun nak terlelap tau2 dah nak sampai rupa2nya 40 minit sahaja masa perjalanan ke sana.


Bergambar dulu sebelum masuk kapal terbang


Masa tu, dalam kapal terbang ramai dengan "mat salleh" dari Australia. Sampai aku pun terjebak duduk sebelah dengan diorang. Ingatkan jodoh yang dok kat sebelah sekali mat salleh rupanya..Kah3! Sempat la lagi tanya dorang pergi ke Padang ni nak buat apa? Dia cakap nak pegi surfing kat belah sumatera ni.. Lepas tu dia tanya aku nak balik kampung ke? -_-' Aku pun jawab, aku ni orang KL nak pergi hiking kat Gunung Kerinci tu. Dia pun ucap enjoy your holiday dan saya jawab "you too".

Sampai sahaja di airport Padang, aku rasa kagum dengan senibina airport tersebut dengan konsep minangkabau tapi tak sempatlah nak ambil gambar. Lepas je scan luggage apa semua, kami pun berjumpa dengan guide kami, Ferdi. Kami semua naik van, ada 3 van yang jemput kami..

Kami di bawa makan oleh Abang Yan ke satu kedai yang tidak jauh daripada airport, ingatkan kedai tu jauh..saya pun nak tidur dalam van sebab tak tidur dalam flight punya pasal. Kat kedai tu, kitorang pening nak order apa. Haha. Last2 order mee goreng indomie aje dengan air milo ais. Mm manis airnyaaa, manis lagi orang yang minumnya.. cia ciaa ciaaa.. :P *perasan sungguh*


Ni lah kedai pertama kami singgah untuk makan pagi.

Untuk pendekkan cerita, lepas sahaja kami makan pagi, kami pun bergerak ke kedai outdoor yang ada iaitu Consina dan Eiger. Aku tak beli apa2 pun cuma tengok-tengok aja sebab tak ada apa yang aku rasa berkenan nak beli. Lainlah kedai consina or eiger kat area Mataram, Lombok memang banyak pilihan.



Busy beno deme ni shopping. Haha.

Masa dorang ni tengah shopping, aku pun ambil kesempatan pergi ke farmasi terdekat untuk beli ubat allergik kang tak memasal kena allergik tapi tak ada ubatnya.

Lepas dah selesai shopping, kami pun memulakan perjalanan sebenar ke Kerinci.

Aku masih rasa mengantuk akibat tak tidur semalaman, masa dalam perjalanan van kami sunyi sebab driver van senyap aja mungkin sebab penat kot. Cuma ada masa kami sempat buat Live kat Facebook.

Dalam perjalanan tu aku sempat lagi tengok kawasan bandar, dah masuk jalan bengkang bengkok tu aku tidur la ceritanya. Lepas tu, van kami berhenti kat satu pondok yang jual jagung tepi jalan.

Aku kata dalam hati, alaaa jagung je ke.. Nak nasiiii..dah lapar ni... Aku pun melangkah dengan berat untuk keluar dari van.

Lepas tu, aku tengok diorang makan jagung bakar ni macam sedap jer. Nak beli nanti tak habis pulak aku makan. Nasib baiklah Kak Long offer makan jagung dia. Hehe. Dapatlah merasa, tapi memang sedaplah jagung dia.. Manis rasanya.







Bergambar dulu kat ladang teh depan kedai jagung


Dah puas makan jagung dan bergambar kat ladang teh, kami pun memulakan perjalanan lagi sekali dan kami berhenti di Danau Kembar.

Subhanallah. Memang cantik tempatnya tambah pula dengan sejuk dan berangin. Saujana mata memandang bayangkan tempat tinggi macam Cameron Highland ada danau besar macam ni. Rasa kagum kan?


Ni salah satu gambar. Cantikkan?


Berhenti kat sini tak lama, lepas ambil gambar dalam 10 minit macam tu terus gerak sebab takut lambat sampai.

Lepas tu kami berhenti kat satu tempat ni, tak tau apa nama tapi macam RnR lah jugak. Singgah sekejap untuk makan, rehat dan solat. Aku pun lapar dengan sejuknya lagi, order lah nasi goreng dia memang sedap. Air pula memang manis, memang orang sana suka manis gamaknya.

Boleh tahan lama juga lepak kat RnR tu dan bila dah gerak, banyak juga perhentian yang kami singgah di kawasan kedai2.

Kematu punggung weh duduk lama dalam van, bayangkan daripada airport ke daerah Kerinci ambil masa dalam 8 jam.

Dah nak sampai tu, barulah van kami meriah sikit ngan lagu asli daerah Kerinci. Haha. Sejuk bukan main wehhh.. Dahlah sweater dalam beg dan bonet. Malas pula nak buka, tahan jelah sejuk.

Dalam jam 9 malam waktu tempatan barulah kami sampai ke homestay, seronok tengok homestay depan je dah nampak gunung Kerinci lepas tu dalam kegelapan malam, aku nampak ada lampu samar2 dari atas gunung dan aku syak itulah campsite diorang.

Nasib baiklah juga homestay perempuan ada water heater (tapi bilik kitorang jer yang ada), bukan main seronok mandi sebab kat luar tu sejuk sangat. Dah siap mandi, kemas beg apa semua, kitorang pun tidur sebab esoknya nak bangun awal.

Jadi, ini sahaja cerita untuk hari pertama.. Untuk post hari kedua, nanti aku update. Terima kasih sebab sudi baca post yang kurang menarik ni. Hehe.

Bersambung ...


Tuesday, September 6, 2016

Penat Berubah?


Hari ini sedang aku membelek dan membaca pos yang ada di facebook, aku ternampak beberapa orang rakan share artikel berkenaan "Safiey dah penat jadi baik".

Aku beristighfar di dalam hati dan berasa sedih sebab Safiey membuat keputusan untuk kembali kepada kehidupannya yang lama. Sebelum aku bersangka buruk, aku pun buka blog tersebut untuk baca apa yang diluahkan oleh Safiey.

Astaghfirullahal'azim.

Aku berasa amat sangat sedih. Punca Safiey kembali ke jalan lama disebabkan oleh apa yang orang katakan pada beliau. Ya, aku sangat faham bahawa beliau penat sebab mulut orang memang tak boleh ditutup dan terlalu nak mengecam orang. Aku berasa amat kasihan sekali dengan Safiey.

Ketahuilah bahawa berhijrah ke jalan Allah itu adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah kerana hambaNya kembali untuk mentaatiNya.

Hidayah itu tidak semua orang boleh dapat, hanya orang yang dipilih sahaja yang menerima hidayah dari Nya. Jadi, janganlah engkau sia-siakan hidayah yang Allah berikan kepada kamu.



Untuk berubah dan istiqamah memang tidak mudah, kerana kau perlu hati yang kuat untuk menempuhi apa jua pun dugaan yang datang. Kerana syaitan itu tidak mahu melihat kau kembali ke jalan yang benar, kau perlu kuat untuk melawan hasutan syaitan.


Sesungguhnya syurga Allah itu mahal, perjalanan menuju keredhaanNya itu pahit,terkadang diuji keimanan, diragut keikhlasan. Namun belilah dengan harga mujahadahmu.


Aku juga pernah melalui fasa-fasa sukar semasa aku memulakan hijrah aku. Tapi, aku pekakkan telinga dengan apa yang orang kata yang bukan-bukan. Aku buka mata hati untuk mendengar nasihat yang baik-baik.

Ya, kita hanya manusia biasa yang sering melakukan kesilapan kita bukan maksum daripada melakukan dosa. Andai kata hampir terkandas, cepat-cepatlah kita memohon keampunan dan kembali kepada Allah.

Kita boleh untuk menoleh kebelakang untuk jadikan ia sebagai pengajaran dan kaki kita harus tetap melangkah ke hadapan dalam landasan hijrah ini.

Sebenarnya aku juga kecewa dengan stigma masyarakat (segelintir) yang tidak memberi sebarang sokongan atau semangat kepada orang yang baru berhijrah. Kenapa perlu untuk berkata-kata negatif, kecam atau mengutuk?

Bukankah sepatutnya kita memberi sokongan, galakan kepada mereka agar mereka terus kuat dan istiqamah.

Buat mereka yang ingin berubah atau hjirah ke jalan Allah, janganlah sesekali kita berasa penat sampaikan kita berasa putus asa dengan jalan hijrah ini. Jika kita terasa ingin berputus asa, kita ingatlah nikmat-nikmat yang Allah dah berikan kepada kita.. Sungguh tak ternilai banyaknya.


Bergaullah dengan mereka yang dapat membantumu untuk terus istiqamah.
Pilihlah jalan untuk ke syurga bukan ke neraka.



Jadi, masih belum terlambat lagi untuk kita berubah ke arah kebaikan selagi ajal belum menjemput.


Monday, May 16, 2016

Gunung Rinjani [Part 1]

Assalamualaikum dan Salam Hikers.

Pada 04 Mei 2016, aku baru pulang daripada Lombok dengan mengikuti XPDC mendaki ke Gunung Rinjani anjuran Backpackers Mountains Malaysia dengan peserta seramai 115 orang. Alhamdulillah, aku berjaya sampai ke puncak walaupun dipertengahan jalan aku dah rasa putus asa. Sekarang ni, aku nak cerita serba sedikit perjalanan aku ke sana. Teruskan membaca ya!

Sebelum bertolak tu, aku ada isu sikit dengan passport ni.. Aku dah buat seminggu awal sebelum bertolak, aku pergi buat passport dekat UTC Keramat ditemani oleh Atin dan Ben. Masa tu, pergi buat passport lewat sikit dalam tengah hari. Dalam jam 6 petang macam tu, aku dah jelaskan bayaran kat kaunter, orang dekat kaunter tu beritahu jam 8 malam baru boleh ambil passport tu.

Dalam fikiran aku masa tu, kesian pulak dekat Atin dan Ben dari jam 2 petang dia tunggu aku buat passport, takkan nak tunggu sampai jam 8 malam pulakkan. So, aku buat keputusan untuk ambil passport tu esok.

Keesokan harinya pulak, nasib baik Bob dengan bermurah hatinya dia nak temankan aku pergi ambil passport dekat UTC Keramat. Tapi......tutup pulak Jabatan Imigresen tu sebab blackout. Aduhh..aku dah runsing juga masa tu.. Nasib baik ada Abg Yut dan Jue ajak lepak jalan2 dekat Sogo dan Pertama Complex.

Ku sangkakan hanya sehari je imigresen tu blackout, rupa-rupanya sampai hari Rabu. Bila dah sampai hari Rabu tu, aku lagilah cuak sebabnya esok dah nak berlepas. Nasib baik ada Abg Epul tolong pergi tengok dekat UTC, Izzi tolong bagi aku nombor telefon ketua pegawai imigresen cawangan UTC Keramat, dan dengan pertolongan Ketua Pegawai Imigresen, Puan Aini (kalau tak silap, maaf lupa nama) akhirnya UTC Keramat Rabu malam tu dah tak blackout lagi. Balik kerja terus pergi sana dan collect, masa dah dapat tu Alhamdulillah rasa lega sangat2.

So, malam tu jugak aku packing barang-barang penat jugak la sebab terkejar-kejar dan last minit. Siapa suruh buat kerja last minit kan? Padan muka!


Tadaa.. dah siap..berat jugak beg ni 10kg..

Aku gerak ke KLIA 2 jam 3 pagi, di temani oleh sahabat baikku Atin dan Ben. Terima kasih sangat kat dorang sebab sanggup hantar aku pagi-pagi ke KLIA2 dan sesampai je kat sana, ada Bob dan Iqbal yang turut hadir untuk memberi sokongan kat kami semua. Malam tu aku tak tidur pun, borak-borak ambil gambar.



Sementara menunggu flight

Seusai solat subuh, kami check-in luggage dan setelah itu, kami pun berkumpul ambil gambar ramai-ramai.




Jam 8 pagi kami masuk ke balai pelepasan, scan beg dan masuk ke kaunter untuk pengesahan passport. Yang menariknya, tak perlu beratur panjang sebab masuk je kaunter tu, letakkan passport dan sahkan cap ibu jari sahaja. 


gambar dari google
haa macam ni la, bukan main senang lagi ada kaunter macam ni.


Jam 8.30 pagi, kami berlepas daripada KUL to LOP (Lombok) dan perjalanan mengambil masa 3 jam.


Aku bosan, amik gambar selfie acah-acah jer. Lepas tu tidur dalam flight tak sedar apa. Haha.

Kali ni walaupun kali kedua aku naik kapal terbang tak adalah rasa takut sangat macam first time naik dulu, tapi ada juga baca doa sebelum berlepas tu. Alhamdulillah selamat sampai ke Lombok jam 12 tengah hari, 28 April 2016.


Selfie dah sampai Lombok!

So, lepas sampai Lombok tu kalau nak tahu aktiviti kami tunggu posting yang seterusnya. Mukadimah jer dah panjang berjela.. Terima kasih kerana sudi baca Part 1 ni. :)




Thursday, April 21, 2016

Sebab Kenapa Aku Hiking

Assalamualaikum,


 Tanggal 18 April 2016, genap setahun aku menceburi dalam bidang mendaki gunung bermula dari Gunung Irau, Cameron Highland.

Pada permulaannya aku mengikuti trip syarikat tempat aku bekerja dulu dan mereka menganjurkan aktiviti mendaki ke Gunung Ledang, Johor. Masa itu, aku hanyalah sebagai ahli jawatankuasa yang ditugaskan memasak untuk para pendaki yang menyertai aktiviti tersebut. Kami bermalam di tapak perkhemahan di kawasan resort sahaja.

Bila berkumpul ramai-ramai dengan pendaki pada waktu makan malam tu, aku dengarlah mereka menceritakan pengalaman mendaki di gunung tersebut. Jadi, dari situ aku rasa macam berminat nak ikut serta jika ada lagi aktiviti pendakian yang dianjurkan oleh Abg Syam tambahan pula aku memang minat aktiviti lasak dan perkhemahan cumanya mak aku ni jenis yang sangat risau kalau anak dia masuk hutan nak-nak pula aku ni ada besi kat sepanjang tulang belakang bertambahlah kerisauan mak aku tu.


Pertama kali kenal, rasa macam dah kenal lama.


Gunung Ledang kali pertama.

Tanggal 18 April 2015, sekali lagi trip #JomDaki menganjurkan aktiviti pendakian. Kali ini ke Gunung Irau, Cameron Highlands. Masa tu ada keluar iklan dekat dalam sistem tempat aku bekerja, jadi tanpa berlengah lagi aku bagi nama kat Abg Syam dan buat bayaran.

Aku beritahu mak aku yang aku nak join hiking ni, macam biasalah mak akan reject. Tapi aku pujuk dan yakinkan mak aku yang tak akan ada apa-apa yang berlaku. Yelah, mak tu risau dalam hutan tu ada macam-macam, takut pulak kalau aku terjatuh ke. Akhirnya mak beri juga kebenaran walaupun dengan berat hati. Hehe.

Jadi, sebelum pergi tu aku akan buat persiapan seperti baca blog-blog sebab nak tengok tahap kesukaran trail tu macam mana dan susah atau tidak trek tersebut. Masa tu memang nubis kubis dan zero knowledge pasal hiking ni. Persiapan stamina last minit, esoknya nak pergi, hari ni baru pergi joging.

Aku rasa sangat excited sebab trip Irau ni seramai 80 orang yang ikut serta dan konvoi ramai-ramai memang sesuatu yang sangat menyeronokkan. Macam biasalah bila kali pertama mendaki, kaki krem lah, mental lah rasa jauhlahh dan macam-macamlah yang kau akan rasa.

Nasib baik ada Kak Nelly, Kak Im, Kak Ros dan Kak Jazz.. Merekalah yang menemani aku sepanjang perjalanan dari Mini Irau ke puncak dan ke starting point. Aku masih ingat lagi yang aku menangis sebab mental dan rasa perjalanan tu jauh sangat. Haha. Malu weiii..


Ni lah kakak yang baik menemani aku bila aku down


Balik jer Irau, rasa macam first and the last aku pergi mendaki gunung ni. Haha. Seminggu kemudian, alamakkk rasa nak pergi mendaki lagi. Jadi, trip-trip yang aku ikut adalah seperti berikut;

1. Broga - 25 April 2015



2. Bukit Kutu - 24 May 2015



3. Bukit Saga - 7 June 2015



4. Gunung Besar Hantu - 13 Julai 2015



5. Gunung Datuk - 25 Ogos 2015


Gunung Rajah, Pine Tree Hill, Twin Peak, dan ada banyak lagi gunung malas nak ingat pergi gunung mana dah! hahaha.

Sebab kedua, aku rasa takjub dengan keindahan yang dicipta Allah. Subhanallah, sangat cantik lukisan alam ini membuatkan aku lagi rasa bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Mendaki gunung ni bukan sahaja untuk menunjuk siapa hebat, tapi Allah Maha Hebat kerana menciptakan alam yang sangat cantik untuk ditatapi dan menjadikan kita lebih tunduk sebagai hambaNya.

Suatu kerugian bila manusia mula tamak haloba lalu pokok ditebang untuk pembangunan, haiwan liar diburu untuk dijual. Bila berlaku pencemaran, kita manusia juga terkena tempiasnya. Aku berdoa agar hutan-hutan di Malaysia tetap terpelihara keindahannya.

Sebab ketiga, aku mahu ramai kawan dan merapatkan lagi silaturrahim sesama manusia. Aku ni tak ramai adik beradik, hanya dua beradik jer. Di rumah pun, kami bertiga je termasuk emak. Maksud aku, aku ni jenis yang suka bila keadaan meriah dan ramai jadi aku tak terasa kesunyian tu.

Aku seronok sebab kawan-kawan hiking aku ni dah rapat macam adik beradik yang mana kita kongsi semua keseronokan, kesedihan dan banyak lagi.

Sejak adanya group Cantas Adventure ni, perhubungan sesama ahli lagi bertambah kemesraan masing-masing memang macam keluarga sangat. Jadi, sekarang aku dah ada keluarga yang besar dan aku takde lagi rasa sunyi sepi macam dulu. Haha.



Sebab keempat, aku tak mahu memanjakan diri aku sebab lepas pembedahan tulang belakang, mak macam tak bagi aku buat kerja berat-berat. Aku faham sebab biasalah mak mana yang tak risau kan.. Tapi bagi aku yang jiwa abang-abang ni, eh? Aku tak suka duduk diam, memang dari kecik lagi aku ni jenis yang suka aktiviti lasak. Masa kecik mak mana nak bagi aku ikut aktiviti perkhemahan anjuran sekolah, bila dah besar dan kerja ni lah baru boleh join tu pun kena pujuk dan yakinkan betul-betul.


**gambar cilok dari google**
macam ni lah lebih kurang besi dalam badan aku

Sejak aku mendaki gunung ni, Alhamdulillah tak ada apa-apa perkara buruk berlaku pada aku sebab aku kena hati-hati dengan lebih lagi sebab takut apa-apa jadi kat tulang belakang balik kan dan aku terus berdoa jer semoga aku sihat dan selamat. Cumanya lepas ni aku kena pakai helmet naik gunung ni sebab 4 kali 4 gunung kepala aku terhantuk kat kayu. Hurmm.. T___T


Aku suka camping sebab aku belajar berdikari tanpa harapkan bantuan siapa-siapa. Aku suka rasa susah dan aku tak nak ajar diri aku untuk sentiasa berada di dalam zon selesa. Macam gedik je kan tak nak rasa susah. Bila kita dah biasa rasa susah, pergi mana-mana pun tak kisah dan kita boleh survive. InsyaAllah.

Lagi satu, pendakian ni juga mengajar kita menjadi seorang insan yang kuat. Laluan untuk ke puncak tak semudah highway, banyak liku-liku, turun dan naik yang harus ditempuhi. Akhirnya bila sampai ke puncak kita berasa sangat puas dapat menikmati keindahan alam sebagai ganjaran. Begitu juga hidup kita, tiada yang mudah dan kita harus tempuhi pelbagai ujian dan selagi kita taat kepada-Nya, insyaAllah ganjarannya syurga di akhirat.

Akhir sekali, aku yang memang pencinta alam ni suka mengabadikan kecantikan alam dalam bentuk gambar sebagai kenang-kenangan yang aku pernah ke tempat itu. Banyak gambar yang aku simpan dalam external hard disk, jadi tak dapat nak kongsikan dalam blog ini sebab tengah menaip di ofis. Hehe.

Jadi, itu sahaja cerita aku dan sebab-sebab kenapa aku suka hiking. Terima kasih sangat sebab sudi baca blog aku ni. Sayang anda semua..




Introduction