Thursday, October 9, 2014

Hijrah. Buka buku baru, jadi orang yang baru~


Hijrah. Buka buku baru, jadi orang yang baru~

Setiap orang ada kisah silam masing-masing, sama ada berat atau ringan dan yang pasti setiap orang tidak lari dari melakukan kesalahan dan dosa kerana kita bukan maksum, kita juga tidak sempurna.

Alhamdulillah sekiranya didalam hati telah terdetik untuk berubah, hidayah Allah telah sampai didalam hati seseorang itu. Alhamdulillah kerana Allah masih membuka pintu hati kita untuk berubah, Allah masih sayangkan kita kerana Allah tak nak kita masuk ke neraka yang membakar..



Apabila terdetik di dalam hati hendak berubah menjadi lebih baik, maka teruskanlah berusaha. Usaha ada bermacam-macam cara yang pasti kita kena mencari ilmu, barulah kita boleh berubah dengan baik dan konsisten.

Pasakkan niat dan berazam untuk menepis segala hasutan syaitan untuk menggoyahkan iman kita. Segala ujian yang mendatang, kita harus kentalkan jiwa dan pertahankan iman kita.

Kembali kepada fitrah~



 “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Surah ar-Rum: Ayat 30).

Kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang dari Nabi s.a.w. Kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah  dalam seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang: “Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam”.

Kembali kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan Allah bermaksud “Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah …” (Surah al-Ahzab: Ayat 21).

Fitrah kita adalah Islam, Islam adalah seindah-indah agama. Semakin kita belajar tentang Islam, semakin kita cintakan agama kita. Islam itu memudahkan, Islam tidak meyusahkan umatnya.

Kita akui telah banyak dosa-dosa yang kita lakukan. Banyak juga perkara larangan Allah kita buat.

Bertaubatlah..

Bertaubatlah dengan menyesal bersungguh-sungguh dan tidak mahu lagi buat perkara yang sama.

Bertaubat menyucikan jiwa dan ibarat seorang bayi yang baru lahir ke dunia.

Subhanallah..

Selagi ajal belum datang, selagi matahari belum terbit dari Barat, pintu taubat sentiasa terbuka.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (bermaksud): “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:

 Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah.

  Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.

  Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.

Kekadang saya berasa malu dan rendah diri apabila melihat seorang muallaf lebih 'alim dan gigih dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam pada itu, saya termotivasi untuk menjadi seorang muslim yang baik.

Allah berfirman maksudnya: “...Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai (menyintai) orang yang berbuat baik.” – (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah kasih kepada orang yang melakukan kebaikan. Orang yang baik, maknanya akhlak dan tingkah lakunya baik. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan.

Sempena dengan Maal Hijrah, bersama-samalah kita berhijrah ke arah yang lebih baik. Berdoalah agar kita kuat untuk istiqamah dan sentiasa berada di jalan yang lurus. Aminn..

Introduction